Tentang Mari Memajukan Filem Tempatan

Abang bukan orang yang arif tentang filem,tapi abang boleh bezakan filem mana yang bagus dan patut ditonton dan yang mana patut dibeli CD cetak rompak lalu dibaling ke muka pengarahnya. Memang susah nak bandingkan filem tempatan dengan antarabangsa kerana semua benda tentang penerbitan filem adalah bergantung pada bajet.Tapi banyak yang boleh diperbaiki untuk filem yang mempunyai bajet yang rendah jika ia dibuat dengan teliti. Bagi abangfilem yang berkualiti adalah filem yang meninggalkan kesan pada diri kita dan sedikit sebanyak mempengaruhi cara hidup kita, buruk atau baik itu terpulang.

Di sini abang ingin catatkan pandangan abang tentang cara meningkatkan kualiti filem melayu :

1. Jalan Cerita Yang Kuat
Tolong la keluar dari cerita cinta yang happily-ever-after atau lawak bodoh atau cerita sedih menangis, meraung dan melalak tak henti-henti sampai habis filem.Tolong buat (atau kalau tak tau buat,adapt dari novel) cerita yang ending-nya unpredictable .Tolong la bagi Erra Fazira sesuatu yang lain,selain asyik jadi awek cun yang dipeluk, ditendang dan dipeluk semula oleh hero-hero yang di-rotate berulang kali.Buat la cerita Salina,dan bagi Erra jadi Salina.Dan tolong la berhenti buat cerita konflik keluarga melayu yang kaya raya. Di Malaysia ni, orang miskin pun ramai jugak.

2 Watak
Tolong matikan watak yang tak realistik yang menjadi sumber fantasi dan punca kegagalan remaja melayu luar bandar. Contohnya seorang pelajar universiti yang baru lepas convocation dan pada keesokan harinya terus boleh pakai kereta BMW ataupun terus boleh ganti tempat ayahnya (yang semestinya Dato') untuk jadi CEO untuk sebuah syarikat yang mesti beribu pejabat di bangunan yang lebih 30 tingkat dan mempunyai bilik pejabat sendiri beserta setiausaha yang kerjanya mengambil fail.

atau

sebuah keluarga melayu yang kaya raya yang menetap di rumah Dato Yusof Haslam yang selalu sarapan bersama yang terdiri daripada :
  • bapa - ahli perniagaan,Dato/Tan Sri (calon : Jalaludin Hassan)
  • ibu - suri rumah, 24 jam pakai anak tudung
  • anak lelaki - suka lumba kereta atau motor (calon : Zed Zaidi)
  • anak perempuan - pelajar kolej yang riang (calon : pelajar AF)
  • orang gaji - Mak Mah atau Mak Jah yang prop-nya hanyalah sebatang penyapu dan sedulang air
Tolong la peka kepada keadaan sebenar dan buat sedikit research untuk membina sesebuah watak.Jangan hidupkan kembali watak-watak yang hampir sama yang boleh dijangka dengan mudah kesudahannya.

3. Skrip
Tak wujud manusia dalam dunia ini yang akan gunakan dialog ini sebagai pick-up line
"Sebenarnya,aku dah lama menyimpan perasaan terhadap kau, cuma kau yang tak tahu"

manusia yang waras juga tak akan gunakan skrip begini kalau marah dengan kekasihnya
"Ooh, kau fikir dengan wang ringgit kau boleh beli harga diri aku? tak semudah itu farouk!! "

Tolong jadi realistik, tiada manusia yang bercakap menggunakan bahasa kamus dewan untuk perbualan harian.Sila buat research sekali lagi tentang bagaimana orang biasa bercakap dan bukan bagaimana seorang makhuk asing dari planet Dato' Yusof Haslam bercakap.
Kalau nak gunakan skrip yang ada loghat negeri pula, tolong buat elok-elok.Kalau tak tau cakap utara jangan pandai-pandai buat loghat sendiri.Meluat sampai nak muntah abang tengok.

4. Logik dan tak stereotype
Tolong logikkan cerita walaupun buat cerita fantasi.Tolong fahamkan penonton dengan penerangan di sepanjang cerita. Cerita serigala jadian pun boleh jadi logik kalau diolah dan dibuat research. Dan jangan stereotype dalam membuat jalan cerita. Cerita cinta tak semestinya berakhir dengan perkahwinan,cerita sedih tak semestinya kena semua orang mati. Pelacur tak semestinya akan mati sebab HIV dan Imam tak semestinya tak boleh jadi pedophile. Bina la jalan cerita dengan tersusun dengan pelakon-pelakon yang berkaliber, jangan sumbat 12 pelajar akademi fantasia sekadar nak dapat box-office.

5. Aspek Teknikal
Kualiti Gambar.Filem-filem tempatan (kecuali beberapa filem tahun 2007-2008 ini) kebanyakannya semua mempunyai kualiti gambar yang gelap, malap dan meresahkan penonton.Memang boleh membunuh mood penonton yang sudah sedia terbunuh dek kerana watak-watak dan jalan cerita bodoh.

Synchronization. Filem-filem tempatan juga selalunya akan ada masalah synchronization antara mulut pelakon dengan skrip, mesti tak sekali jalan.Mesti mulut cakap benda lain,tapi kita dengar benda lain.Macam filem alih suara telenovela, memang boleh membunuh mood.

Watak tambahan, memang penting untuk membuatkan jalan cerita lebih smooth dan berkesan.Jangan la ambil En.Kayu bin Besi saja untuk jadi extra.

Poster,
di Malaysia maksud poster filem adalah - sebuah kolaj yang bakal menempatkan kesemua muka watak utama dan tambahan dalam keadaan paling spastik/sedih (bergantung pada jenis filem) Buat la cantik-cantik sikit.tapi jangan tiru orang lain punya pulak.Kalau nak tiru jugak, kaverline la sikit.



6. Plagiat/Ciplak
Zaman sekarang bukan masa yang sesuai untuk bodohkan orang dengan meniru bulat-bulat cerita luar.Sekarang ada internet dan orang boleh download walaupun filem dari Mongolia tahun 1950 sekalipun. Walaupun cuma meniru poster, pembawakan watak dan dialog dan bukannya keseluruhan jalan cerita, expectation kepada filem itu akan menurun dengan teruk.Penonton yang bijak tak akan tertipu kalau kamu buat cerita betul-betul berkonsepkan hindustan walaupun yang berlakon adalah Erra Fazira dan bukan Kajol. (baca : kuliah cinta) dan cerita bodoh Mendam Berahi yang orang dungu dari Ulu Tembeling pun boleh tahu tiru cerita Charlies Angel.Kesian Rita Rudaini.

7. Berpijak pada Bumi Nyata
Tolong sedar bahawa dari segi bajet memang kita tak boleh lawan filem antarabangsa,jadi tak payah buat filem aksi atau animasi yang memerlukan bajet yang tinggi kalau tak setaraf dengan filem antarabangsa.Tak guna letupkan bas dan bangunan dan buat animasi cicakman yang memang sengaja diminta untuk dibandingkan dengan spiderman atas nama nak bersaing .Banyak lagi genre filem lain yang boleh dibuat dan kalau dibuat betul-betul boleh bersaing dengan filem antarabangsa.Jangan nak tunjuk kuat dengan benda yang kita tak larat nak angkat.

8. Banyakkan Cerita Tentang Kita bukan ANGAN-ANGAN kita
Salah satu sebab kenapa filem P. Ramlee relevan hingga sekarang adalah kebijaksanaan P. Ramlee menggambarkan keadaan masyarakat ketika itu baik dari segi ekonomi atau gaya hidup.Sebab itu jarang watak P. Ramlee jadi orang kaya kerana itu realitinya pada masa tersebut.Filem tempatan hari ini tidak langsung menggambarakan realiti masyarakat sekarang.Tiada satu pun filem tentang polis yang rasuah ataupun tentang rakyat yang merungut dan menyalahkan kerajaan kerana kesempitan hidup pada hari ini.Generasi akan datang tidak akan dapat gambarkan kehidupan pada masa sekarang melalui filem. Filem tempatan pada hari ini dah dijadikan medium untuk menyebarkan propaganda.

Ada banyak lagi sebenarnya..malas abang nak tulis.Sekarang dah pukul 5.47 pagi 25hb Julai, maknanya dah 2 hari abang tak tidur.Sekian

Yang Minat The Dark Knight,
Abg KWSN

Why So Serious?

Senyum la sikit. :D

Tentang di-TAG oleh The Dark Knight

* Disebabkan dah 2 kali abang pergi tengok filem ni,maka abang layan-kan aje la Tag ni.The Dark Knight memang lain dari cerita superhero yang lain.Memang agak berat.

10 Things I Hate/Like About "The Dark Knight

Hate
1. Suara Batman.Buat biasa sudah la.
2. Maggie Gyllenhaal. Potong betul la dia ni.Bagi la cun sikit nak ganti Katie Holmes.Kalau bagi Rozita Che Wan pun lagi ok.Selamat mati.
3. Duration filem ni sampai 2 jam setengah boleh dipendekkan dengan potong scene atas kapal.Tak bagi sumbangan langsung scene tu kepada jalan cerita.
4. Muka Two-Face.Cun tapi tak logik.Macam mana muka hancur sampai macam tu pun boleh nak jalan-jalan tembak orang lagi ke?
5. Scene dalam mahkamah.Masa Harvey Dent nak kena tembak,boleh tangkap pistol macam tu aje.Gila hebat.

Like
1. Health Ledger.Tak payah cakap.Memang gila hebat.Tapi Joker mati ke tak at last?
2. Peralatan-peralatan dan baju Batman.Gila cun.
3. Fight Scene.Memang nampak real, terutama sekali bila Batman belasah Joker masa Joker kena tangkap polis.
4. Mesej.Jadi hero bukan bermakna kita perlu disukai atau dipuja oleh orang yang kita selamatkan.Yang penting, orang yang kita selamatkan tu selamat.Haa tak paham korang punya pasal la.Abang kan orang falsafah.
5. Alternate-ending The Dark Knight bukan superhero yang selalu menang dan selalu dipuja oleh penduduk Gotham City.
6. Why So Serious? Memang betul.
hah.sape nak buat TAG ni buat la.Malas abang nak suruh.Maklumla baru keluar hospital.

Tentang Bahasa,Yang Sepatutnya Jadi Jiwa Bangsa


Abang memang pantang,macam abang pantang bila orang panggil abang "bro",sama la jugak abang pantang bila orang me-melayukan perkataan inggeris untuk urusan-urusan rasmi,macam ucapan dan surat-surat rasmi kerajaan.Untuk benda-benda peribadi dan main-main abang tak kisah.

Contohnya,hari ni abang ada dapat surat dari satu badan berkanun,antara ayat dia berbunyi :

"...adalah untuk program edukasi yang akan dijalankan di Kuala Lumpur.."

"..tertakluk kepada beberapa kondisi yang telah ditetapkan.."

Habis la cacat bahasa melayu macam ni,hampir semua perkataan bahasa inggeris yang berakhir dengan -ion mesti ditukar dan dimelayukan.Contohnya :

personafication - personafikasi
participation - partisipasi
emotion - emosi
conclusion - konklusi
explosion - eksplosi

dan....

nation - nasi
section - seksi
caution - kosi

Macam la dah kering sangat perkataan melayu yang nak digunakan untuk terjemah perkataan inggeris tu, sebenarnya alasan yang paling munasabah adalah MALAS.Malas nak cari, malas nak fikir dan malas nak sekurang-kurangnya rujuk dari sumber lain.Memang biasa untuk orang melayu,iaitu tuan kepada bahasa melayu ni untuk ada sifat malas dan sifat tak ambil kisah dan sifat ala kadar bukan sahaja dalam penggunaan bahasa tapi dalam hampir semua bidang dan aspek kehidupan .Jadi tak la menghairankan kalau dalam masa 100 tahun dari sekarang,kalau wujud lagi bangsa melayu ni dekat dunia , orang-orang melayu tak akan mampu menterjemah buku-buku dan penulisan dalam bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu untuk diguna oleh generasi akan datang.

Sekarang pun kita dah boleh tengok,bahasa melayu memang satu bahasa yang tak penting walaupun dalam negara Malaysia yang bahasa rasminya bahasa melayu.Surat rasmi kerajaan,cuma kepala surat sahaja yang ditulis dalam bahasa melayu,bila dah sampai ke perkara-perkara penting surat tersebut semuanya ditulis dalam bahasa inggeris.Orang melayu pun sekarang jarang nak bercakap dalam bahasa melayu.."takde class" la..!! Selalu abang tengok di pejabat abang lebih-lebih lagi kaum perempuan la (and i dont mean to be sexist) suka betul nak bercakap bahasa inggeris celup walaupun cuma nak beli nasi berlauk cencaluk,gulai lemak ataupun sambal tumis dari gerai Mak Cik Markonah di gerai depan pejabat.

"How much?" sambil tunjuk bungkusan nasi putih dengan lauk sayur assam

"OOO..enough..enough..I nak half aje.." untuk mintak nasi separuh

"Sorry,I takde small change la" untuk bayar harga nasi dengan lauk sayur assam.

Maka terkial-kial lah Mak Cik Markonah nak melayan para eksekutif mat salleh celup yang bergaji sederhana dan berjawatan tak kemana ni cakap bahasa inggeris celup.Dah la meniaga sekarang tak seberapa,kena pulak pening-pening kepala melayan pelanggan melayu "high-class" yang cuba nak praktikkan penggunaan bahasa inggeris yang dipelajari hasil inspirasi daripada watak Fazura,Sazzy Falak dan Erra Fazira (mungkin) dalam drama-drama melayu.

Memang sekarang siapa yang cakap bahasa melayu akan dipandang macam tak berpelajaran tinggi dan agak kampung.Siapa yang cakap bahasa inggeris barang sepatah dua pula walaupun tunggang langgang tatabahasa dan struktur ayat-nya memang akan dicop sebagai moden,urban,dan berkasta tinggi.BULLSHIT..!!

Tak payah nak salahkan sesiapa dalam hal ni, memang salah sendiri,orang melayu memang tak bangga jadi orang melayu dan cakap bahasa melayu. Jadi macamana orang lain nak bangga dengan bangsa kita.Kita memang suka mencedok,meniru dan menyelam masuk ke dalam budaya bangsa lain.Kita lagi suka kalau kita dilihat sebagai "tak-melayu-sangat".Lagi nampak cool. Memang kita suka dijajah dan sukakan kesan penjajahan itu terus kekal dalam diri kita.Memang memalukan.

Di Malaysia ni,kalau kamu tak tahu cakap melayu walau sepatah haram,kamu boleh hidup dengan jayanya dan dipandang tinggi, walhal sebaliknya kalau kamu anak jati Malaysia yang tak tahu cakap bahasa inggeris,susah hidup kamu dan gelap la masa depan kamu di negara sendiri ni.Kalau kamu nak bekerja pun, syarat-syarat kelayakan hendakkan penguasaan bahasa inggeris atau mandarin atau kantonis yang mantap.Bahasa Melayu tak sebut pun. Budak sekolah pun kena belajar utamakan bahasa inggeris padahal belajar di sekolah kebangsaan yang gunakan bahasa kebangsaan. Dan di Malaysia ni, lagi mat-salleh-celup perangai kamu, lagi sinis pandangan kamu pada adat dan budaya melayu dan Islam, dan lagi kurang penguasaan dan pengetahuan kamu pada bahasa dan adat orang melayu,lagi ramailah orang melayu yang akan kawan dengan kamu.

Jadi, abang harap supaya orang melayu lebih bangga jadi diri sendiri.Walaupun secara realiti memang tak banyak yang boleh dibanggakan tapi we have to start somewhere right? Tengok la macam orang Itali yang begitu bangga dengan bangsa dan negara mereka sampai abang ada tengok dalam rancangan "Jamie's Great Italian Escape", si naked chef tu sampai cakap kalau dia diberi pilihan untuk dilahirkan semula, dia berharap untuk jadi orang Itali, walaupun dia sendiri merupakan seorang Inggeris yang patut bangga dengan pencapaian bangsa sendiri.

Dah la, tulis panjang-panjang pun buat penat abang aje,baik abang pergi Plaza Damas makan.Sekian terima kasih

Yang Masih Kena Belajar Bahasa Melayu,
Abg KWSN

Tentang Debat Rakyat

Memang abang tunggu debat antara Dato Seri Anwar Ibrahim dgn Dato Strawberi si Menteri Penerangan dan Penggelapan malam tu.Abang dah lama nak tau apa jawapan kerajaan yang diwakili oleh Dato Strawberi kepada semua persoalan tentang kenaikan harga minyak yang melampau.Untuk Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pulak,abang dah tahu melalui ucapan beliau sebelum ini tentang hasrat Pakatan Rakyat untuk turunkan harga minyak kalau mereka memerintah.Yang berbeza cuma malam tu DSAI umumkan yang untuk langkah awal, beliau akan turunkan 50 sen dengan kadar segera.
Tapi apa yang abang nampak dalam perdebatan malam tu adalah,

1. Masa perdebatan yang pendek,patut bagi la satu setengah jam macam yang dijanjikan sebelum ni,baru la cukup.

2. Dato Strawberi memang bukan lawan DSAI, malam tu dia cuma ungkit sejarah lama DSAI dan cuba nak terangkan kepada rakyat dengan panjang lebar tentang perihal peribadi DSAI sampai berbuih-buih mulut.

3. Cuma DSAI saja yang betul-betul bercakap pasal minyak dan cara bagaimana harga minyak boleh diturunkan sebanyak 50 sen yang hanya memerlukan dana tambahan sebanyak 5 billion.
Penerangan tentang cara nak dapatkan dana tambahan tu dibuat dengan jelas dan terperinci sampai abang yang tak banyak tahu istilah-istilah ekonomi pun boleh faham.

4. Takde satu pun penjelasan dari Dato Strawberi tentang kenapa kerajaan tak boleh turunkan harga minyak untuk membalas kenyataan DSAI tentang kenapa PKR boleh turunkan harga minyak.

5. Banyak perbandingan dan fakta yang diberikan oleh Dato Strawberi bercanggah dengan fakta sebenar.Contohnya, kadar inflasi yang terbaru selepas harga minyak dinaikkan pada bulan Jun adalah 8%, bukan 6%.

6. Dato Strawberi bercakap tentang harga minyak dari sudut pandangan seorang menteri yang mana secara automatik adalah seorang yang kaya.Memang tak akan difahami oleh rakyat yang hari-hari kena berhadapan dengan harga barang yang melambung.

Kesimpulan yang abang rasa boleh dibuat dari debat malam tu adalah,tiada penyelesaian yang dapat dibuat sebenarnya.Debat malam tu cuma untuk menunjukkan konon-nya kerajaan bersikap terbuka dengan memberi ruang kepada DSAI untuk berdebat.Padahal esoknya (hari Rabu) DSAI dah kena tangkap.Dah la kalah debat,(walaupun dah tau,memang tak akan diakui oleh kerajaan) kena tangkap pulak.Dah la sepatutnya waran tangkap ada nyatakan DSAI diberi masa sampai pukul 2 petang,tapi pukul 1 dah kena tangkap.Konon-nya kereta yang bawa DSAI tu melencong balik rumah bila sepatutnya kena pergi terus ke IPK.

Tapi abang harap-harap Dato Seri Anwar,Dato Seri Wan Azizah dan Nurul Izzah yang abang memang minat diberi perlindungan dan kesihatan dari Allah S.W.T
Amin,


Tentang Blog Abang

Abang dah padam entri-entri di blog lama abang.Ye lah,sejak naik pangkat jadi "abang" ni, tak boleh la ada blog yang merepek-merepek dan tak matang macam blog dulu.
Sejak abang dah makan geliga lipan,geliga kelapa dan beberapa ekor burung cenderawasih hasil urusniaga abang dengan bro vampirez abang dah jadi kuat semacam.Setakat nak bertumbuk dengan 5-6 orang dewasa saiz sederhana abang memang tak goyang.Tapi abang dah buat keputusan untuk tak nak gunakan kekuatan abang secara fizikal,abang akan tumpukan untuk gunakan kelebihan abang di internet ni.Macam yang abang dah pernah buat dulu.
Jadi untuk blog abang yang serba baru, serba gagah dan otai ni, abang nak bagi tau kamu semua yang abang tidak akan menetapkan sebarang garis panduan dalam penulisan abang.Sukati abang-la (bukan bangla pasal tu kena letak sengkang) nak tulis apa pun,dah blog abang.Nama pun blog abg kwsn.Abang juga tak menghalang kamu semua nak komen apa yang abang tulis,kalau komen baik dan puji-puji abang,abang suka.Kalau komen negatif dan kutuk-kutuk abang,abang ketuk kepala kamu semua.Tapi sebagai pengguna internet yang bertanggungjawab abang harap blog abang tidak akan digunakan untuk menabur fitnah dan memecahbelahkan masyarakat.Sekian terima kasih,

Yang Benar,
Abg Kwsn